Mural Potret Terbesar diMalaysia berada di Muar Bandar Diraja, Johor Darul Takzim.

"THE LOVING SISTERS" (ADIKKU SAYANG)

Mural berukuran 11.89 meter tinggi dan 9.75 meter yang tertera di dinding ini telah dilukis oleh Julia Volchkova, 28, seorang pelukis mural dari Rusia. Terletak di Jalan Arab, Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar, Johor, lukisan mural ini telah disiapkan dalam tempoh 10 hari pada 17 Julai 2016.

"The Loving Sisters" atau "Adikku Sayang" dalam versi Melayu, diilhamkan dari wajah-wajah Nur Najwa Aliesya, 7 tahun dan adiknya Nur Najiyah Amani, 3 tahun dari Muar. Julia yang terserempak dengan dua beradik ini di Tanjung Emas di sini telah sempat merakamkan potret gadis-gadis cilik tersebut dan diabadikan dalam mural ini dengan ekspresi raut wajah yang menarik terutamanya pada sepasang mata yang memukau.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh dua beradik ini mencerminkan eratnya permuafakatan dan rasa cinta warga Muar terhadap Bandar Diraja ini, yang dizahirkan dengan cara dan gaya yang unik dan tersendiri : "Orang Muo, Gaya Muo".

Lukisan mural ini telah diiktiraf dan dicatatkan dalam "Malaysia Book Of Records" sebagai mural potret yang terbesar di Malaysia pada 18 Julai 2016.

Projek ini telah diterajui Pegawai Daerah Muar, Haji Ramlee Bin Haji A.Rahman, merupakan satu-satunya projek seumpama ini di Negeri Johor Darul Ta'zim. Beliau telah menggalakkan kolaborasi bestari dalam kalangan warga Muar untuk berganding bahu dengan Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha menyemarakkan budaya tempatan dan memperkasakan perpaduan kaum melalui seni.

Volchkova (tengah) sewaktu penganugerahan Malaysian Book of Records dihadapan mural potret lukisannya.

Wajah sebenar adik beradik The Loving Sisters
 Nur Najwa Aliesya (7 tahun) dan adiknya Nur Najiyah Amani (3 tahun)

No comments:

Post a Comment